Saturday, June 5, 2010

Siti puas hati

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


SITI kini lebih yakin dengan produk SimplySiti yang mula meraih pengiktarafan.

--------------------------------------------------------------------------------



SELAIN bergelar penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 31, yang baru berjinak-jinak sebagai usahawan barangan kosmetik dan kecantikan kulit, SimplySiti terus mencipta rekod tersendiri apabila produk di bawah labelnya mendapat pengiktirafan tertinggi.

SimplySiti yang dilancarkan secara rasmi sejak April lalu meraih Anugerah Produk Halal Terbaik daripada The Halal Journal diterajui oleh Kasehdia Sdn. Bhd. sekali gus mengalahkan beberapa produk tempatan termasuk yang mendahului di pasaran sebelum ini.

The Halal Journal merupakan sebuah jurnal berbahasa Inggeris yang memulakan edisi pertama pada Januari 2005. Sebelum itu, The Halal Journal pernah dicetak buat pertama kali pada Ogos 2004 sebagai panduan kepada delegasi dan peserta menghadiri Persidangan Halal Sedunia Malaysia 2004 (MIHAS 2004) yang berlangsung di ibu negara.

Bukan itu sahaja, jurnal yang dikepalai oleh pengarahnya, Jumaatun Azmi itu merangkumi keseluruhan aspek pengeluaran dan pembuatan dalam industri halal global yang menekankan tentang pasaran ekonomi berdasarkan konsep Islam.

Siti yang bertindak sebagai Presiden SimplySiti Sdn. Bhd. berkata, dia cukup gembira dengan pencapaian setahun jagung SimplySiti selepas melampias sepenuh keringat memunculkan produk kecantikan dan penjagaan kulit itu kepada pengguna.

"Alhamdulillah, selepas puas hendak meyakinkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapatkan sijil halal pada produk ini, tidak lama kemudian SimplySiti dianugerah pula produk halal terbaik di Malaysia.






SEMPAT melayan rakan-rakan niaga dari seluruh negara yang membantu mengembangkan nama SimplySiti.

--------------------------------------------------------------------------------


"Tiada lebih membanggakan kerana keputusan ini dipersetujui oleh individu tertentu dari negara-negara Islam seluruh dunia. Dengan adanya penghargaan ini, Siti dan seluruh tenaga kerja bertambah yakin untuk meneruskan langkah SimplySiti selepas ini," jelasnya ketika ditemui pada majlis doa selamat SimplySity di ibu negara minggu lalu.

Begitupun, penyanyi yang terkenal dengan lagu Biarlah Rahsia itu memberitahu, majlis tersebut sebenarnya bukan bertujuan merai kemenangan SimplySiti dipertauliahkan sebagai produk halal terbaik.

"Siti baru tahu tentang perkara ini selepas kami merancang untuk adakan majlis doa selamat. Ini semua secara kebetulan. Padahal, acara ini dilakukan sebab hendak beri penghargaan kepada seluruh pihak yang membantu menaikkan nama SimplySiti.

"Biarpun baru lebih sebulan berada di pasaran, Siti berbangga dengan pencapaian memberangsangkan produk ini. Diakui, untuk tahun pertama ini Siti pasti tidak dapat lagi keuntungan. Cuma, Siti sangat berpuas hati sebab jenamanya mula dikenali umum," ungkapnya yang masih belajar banyak perkara tentang selok-belok cabang bisnes.

Tidak hanya Indonesia dan Singapura, syarikat itu turut menimbang untuk memasuki pasaran Timur Tengah tidak lama lagi ditambah selepas menerima penghargaan sebagai produk halal terbaik sesuai digunakan oleh golongan wanita termasuk beragama Islam.

Di Malaysia, produk SimplySiti boleh didapati di lebih 200 cawangan Watson di seluruh negara sementara Jusco tidak lama lagi.

Obses Siti bawa tuah

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar ISMAIL KAMADIN





SITI Nurhaliza tidak melepaskan peluang melayan wakil-wakil jualan produknya yang hadir pada majlis kesyukuran dan doa selamat produk SimplySiti yang diadakan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



KECANTIKAN sememangnya cukup sinonim dalam diri setiap wanita. Ibarat irama dan lagu jika dipisahkan pincanglah makna sebuah kehidupan.

Begitulah juga dengan diri penyanyi wanita nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang sedari kecil cukup obses terhadap kecantikan.

Lebih-lebih lagi apabila kini penyanyi bersuara lunak itu mula berjinak-jinak dalam perniagaan produk kecantikannya, SimplySiti yang mula menjengah pasaran lebih sebulan lalu.

Bagaimana obsesnya penyanyi yang cukup mesra dipanggil Siti itu terhadap kecantikan, begitulah juga dia memainkan peranan penting turun padang mengambil tahu segala proses pembikinan produk yang turut memetik namanya di lapangan komersial itu serta terlibat di hampir semua tempat yang mempromosikan produk tersebut.

Baginya, di mana ada kemahuan dan usaha, di situlah jalan bakal terbentang luas untuknya dalam memasarkan produk tersebut.

Apa yang cukup membanggakan si pelantun lagu Aku Cinta Padamu itu, biar baru sahaja sebulan jenama SimplySiti dipanjangkan di pasaran, sambutan yang diterima amat luar biasa malah, melebihi sasaran yang ditetapkan.

Biarpun mengakui masih belum memulangkan modal besar yang dilaburkan olehnya memandangkan bahan-bahan yang digunakan agak mahal, namun kata Siti, dia cukup berbesar hati apabila produk tersebut berjaya mencapai sasaran jualan yang ditetapkan hanya dalam masa sebulan dipasarkan.

Dan baru-baru ini, bertempat di Hotel Hilton, Kuala Lumpur berlangsungnya majlis kesyukuran serta doa selamat memohon kepada Allah agar sambutan yang menggalakkan terus diperolehi.

Tambah menceriakan isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu lagi, sehari sebelum berlangsungnya majlis tersebut, pengurusan SimplySiti Sdn. Bhd., dikejutkan dengan berita gembira apabila nama SimplySiti diangkat ke mata dunia sebagai penerima Best Halal Product menerusi Halal Journal Awards.

Maka, tidak sia-sia usaha penyanyi kesayangan ramai itu membawa pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke Korea dan mengikuti segala prosedur yang ditetapkan oleh pihak tersebut bagi memperoleh sijil halal tidak lama dahulu.

Dengan pencapaian tersebut, tentu dapat memperluaskan lagi empayar SimplySiti di peringkat asia yang dijangka bakal dimulakan tahun depan.

Ini termasuklah memasarkan produk tersebut ke Indonesia dan Singapura.

Malah, menurut Siti dia telah pun bertemu dengan beberapa pihak syarikat di Indonesia untuk memasarkan produknya di negara itu.

Bahkan, dia turut bercita-cita melayangkan jenama SimplySiti ke negara timur tengah pula memandangkan produk tersebut ada kekuatan dari segi halal.

"Alhamdulillah, saya rasa bersyukur sangat SimplySiti berjaya memperoleh anugerah tersebut. Tidak dinafikan prosedur yang ditetapkan oleh Jakim amat ketat dan proses nak mendapatkan sijil halal itu sendiri memang begitu mencabar bagi saya.

"Di Korea, mereka (pihak Jakim) memeriksa setiap satu bahan yang menjadi kandungan dalam produk SimplySiti. Sehinggakan latar belakang pekerja yang bertugas menghasilkan produk ini juga mereka selidiki.

"Oleh kerana usaha kami dan mengikuti segala prosedur yang ditetapkan oleh Jakim, dapat juga sijil halal justeru kami berasa lebih mudah dan lega untuk memasarkan produk-produk kami ke negara," kata Siti.

Rancang keluar produk bermusim

Sejenak terfikir, sedangkan meniti kehidupan sebagai penyanyi terkenal Siti sudah tidak menang tangan memenuhi pelbagai jadual dan undangan nyanyian, bagaimanakah pula apabila dia mula melangkah ke arena perniagaan sebagai usahawan kosmetik?

Biarpun bagai tidak cukup masa menguruskan perihal nyanyian dan perniagaan, namun Siti cukup bertuah kerana mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami yang cukup memahami minatnya yang mendalam terhadap kosmetik.

"Kehidupan saya sama seperti biasa, tetapi dalam bab-bab perniagaan dan terma-termanya sedikit sebanyak saya pelajari daripada suami.

"Cuma, kalau dulu saya tidak perlu fikir tentang konsep dan penyusunan warna, tetapi kini bila sudah ada produk sendiri saya perlu fikirkan warna-warna apa yang disukai oleh pelanggan untuk dikeluarkan.

"Saya memang amat sukakan kecantikan dan untuk hari raya nanti saya rancang untuk keluarkan produk khas SimplySiti menjelang hari raya nanti. Insya-Allah setiap musim perayaan kami rancang untuk keluarkan produk-produk solekan dengan warna-warna tertentu," kata Siti lagi.

Tambah Siti, biarpun dari segi saingan antara SimplySiti dengan produk-produk sedia ada di pasaran cukup besar namun, dia yakin telah menampilkan yang terbaik dalam produk tersebut termasuklah dari segi bahan, tekstur, warna serta bau yang dipilih sendiri olehnya.

Untuk itu amat penting baginya mengambil tahu setiap proses yang pembuatan serta menjalankan promosi sebaiknya.

"Sebagai artis, orang ramai sering melihat cara kita berdandan dan mereka sering tertanya-tanya tentang produk dan padanan warna yang sering saya gunakan.

"Jadi, dengan adanya produk SimplySiti, inilah salah satu cara untuk saya beritahu tentang rahsia solekan saya," katanya yang turut merancang untuk menghasilkan produk wangian pula.

Sekitar Jun ini, Siti bakal ke Kuching, Sarawak untuk memenuhi persembahan jemputan di Borneo Convention Centre sekali gus bertemu rakan niaga bagi mempromosikan SimplySiti di negeri itu.