Siti Nurhaliza |
PEMINAT Datuk Siti Nurhaliza berasakan keputusan penyanyi itu untuk menarik daripada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada tahun akan datang dianggap sebagai tidak wajar dan agak 'menyedihkan'.
Walaupun menghormati tindakannya itu, namun bagi kebanyakan peminat, belum masanya untuk Siti menarik diri daripada mana-mana anugerah, lebih-lebih lagi seperti ABPBH yang membabitkan sokongan secara langsung daripada orang ramai.
Pengendali sesawang Sitizone, Muhamad Azwan Hashim, 24, berkata soal penarikan diri tidak patut dikeluarkan oleh Siti biarpun faham mengenai alasan penyanyi itu yang disifatkan sebagai terlalu baik hati kerana mahu memberi ruang kepada artis lain.
"Kalau betul Siti nekad dengan keputusannya, kami sebagai peminat akan melihat anugerah berprestij itu sebagai hambar atau seperti tidak cukup ramuan. Dengan produktiviti dan dirinya yang aktif pada tahun ini menerusi konsert dan album yang dihasilkannya, Siti boleh terus dicalonkan dan sepatutnya penyanyi itu tidak boleh menarik diri begitu saja," katanya yang digelar sebagai Siti Zoners.
Pendapat yang sama turut dipersetujui oleh Zaffirah Zaini dari Lahad Datu, Sabah yang berpendapat Siti terlalu istimewa kepada kebanyakan peminatnya dan keputusan menarik diri daripada ABPBH nanti, pastinya akan menyebabkan ada berasa kecewa.
Katanya, ini kerana sebagai peminat mereka akan sedaya upaya untuk mempertahankan undi dan populariti yang dikecapi Siti selepas lebih sedekad mengharungi dunia seni.
"Tapi semuanya terpulang kepada Siti. Sebagai peminat, kami akan terus menyokong kerjaya Siti. Saya menghormati tindakan Siti dan semestinya beliau sendiri tahu sebab berbuat demikian (menarik diri). Kalau Siti berundur diri sekalipun daripada terus bertanding, ia tak akan membawa impak yang ketara.
Sekurang-kurangnya, Siti terbuka dengan membuka laluan untuk artis lain termasuklah yang menjadi pelapis mewarnakan persada seni. Mungkin soal populariti itu, Siti sudah berada dalam kedudukannya yang tersendiri tanpa perlu bersaing dengan sesiapapun.
"Tapi dalam soal karya, Siti tidak boleh bertolak ansur kerana bakatnya cukup istimewa. Kalau tak disalurkan untuk ABPBH sekalipun, Siti boleh bersaing untuk Anugerah Industri Muzik. Bagaimanapun, rasa seperti malap industri muzik tempatan jika dia tidak mengeluarkan produk (album) atau terbabit dengan siri konsert," katanya.
Siti juga mahu menarik diri daripada ABPBH tahun depan kerana mahu memberi peluang kepada penyanyi lain memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular yang dimenanginya selama 12 kali berturut-turut. Siti juga dipilih sebagai Bintang Paling Popular di ABPBH sebanyak enam kali.
Nama Siti akan tetap dicalonkan
PENGARANG Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid berkata elemen populariti adalah satu bonus dalam kerjaya artis dan ia menjadi nilai tambah untuk terus melonjakkan kerjaya itu ke satu peringkat yang lebih baik.
Populariti juga bersifat subjektif dan boleh hilang begitu saja jika tidak dijaga betul-betul.
"ABPBH adalah anugerah yang mempertaruhkan hak peminat dan Siti sebenarnya tidak boleh mempertikaikan hak itu secara dasarnya. Daripada sudut pihak penganjur, Siti juga tiada hak untuk menarik diri kerana semuanya bergantung kepada pilihan pembaca dan peminat.
"Siti boleh menarik diri dengan syarat dia tidak mengeluarkan atau mempunyai sebarang produk sepanjang tahun ini dan itu secara automatik namanya tidak akan dicalonkan dalam senarai pencalonan awal. Selagi ada produk, peminat berhak mengundinya untuk ke top 5 mahupun sehingga menang trofi.
"ABPBH memberi mandat kepada pembaca dan peminat untuk memilih artis kesukaan mereka. ABPBH tidak membabitkan juri profesional. Jelas, populariti boleh hilang dengan sendirinya dan tidak perlu mana-mana artis itu membuat keputusan untuk menarik diri," katanya.
Menurutnya, dalam konteks penganjuran ABPBH, jelas di sini tidak timbul soal dikuasai oleh mana-mana artis kerana semuanya sangat terbuka dan terserah kepada peminat yang mengundi.
Sekiranya mana-mana artis itu mempunyai produk, mereka layak untuk dicalonkan.
Melihat kepada produktifnya Siti pada tahun ini, tak mustahil dan tidak teragak-agak pihak penganjur untuk mencalonkan nama Siti dalam pencalonan awal ABPBH 2010. Sekalipun Siti tak mahu bertanding lagi pada tahun depan dan sekiranya Siti tercalon lagi dalam top 5, keputusan adalah muktamad.
Jika peminat menghormati keputusan Siti dan sepakat untuk tidak mengundi Siti, besar kemungkinan apa yang dimahukan Siti akan menjadi kenyataan. Persoalannya, apakah peminat Siti akan tegar untuk tidak terus mengundi penyanyi kesayangan mereka?