Monday, August 24, 2009

Happy 3rd Anniversary Ct n DK

Sempena keberkatan Ramadan



Siti Nurhaliza dan Khalid memohon doa rumah tangga kekal sepanjang hayat

RUMAH agam yang terletak di Bukit Antarabangsa di Hulu Klang, pada Jumaat lalu agak meriah berbanding hari biasa. Malah dari jauh lagi sudah kedengaran bacaan ayat-ayat suci memuji kebesaran Ilahi menandakan ada acara sedang berlangsung malam itu.

Di sebalik telekung yang dipakai, seraut wajah jelita begitu khusyuk mengaminkan doa, menadah tangan memohon supaya rumah tangga yang dibina selama tiga tahun itu berkekalan hingga ke akhir hayat. Begitu juga dengan si suami.

Sambil bibir melafazkan kalimah suci, hati turut mengharapkan moga kehadiran Ramadan kali ini yang kebetulan jatuh pada hari yang sama membawa keberkatan dalam ikatan perkahwinan mereka yang mereka bina.

Saban tahun, pasangan suami isteri terkenal, Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa tidak pernah lupa menyambut ulang tahun perkahwinan mereka.

Selama dua tahun berturut-turut mereka meraikannya di sebuah hotel, tetapi untuk kali ini mereka lebih senang menyambut acara penuh makna itu di kediaman sendiri.



ANTARA tetamu yang hadir pada majlis kenduri doa selamat Siti dan Khalid.

“Kebetulan tahun ini hari ulang tahun perkahwinan jatuh pada malam 1 Ramadan, jadi kami gunakan peluang itu untuk meraikannya dengan mengadakan kenduri doa selamat serta solat Tarawih berjemaah.

“Sebelum ini pun memang setiap Jumaat, kami mengundang imam untuk bersolat secara jemaah dan selepas itu kami adakan majlis tazkirah.

Kami bersyukur kerana ulang tahun perkahwinan kami jatuh pada malam 1 Ramadan dan moga kehadiran Ramadan kali ini membawa keberkatan dalam hubungan kami dan berkekalan hingga ke akhir hayat,” kata Siti dengan Khalid di sisinya.

Tidak dinafikan sepanjang melayari kehidupan alam rumah tangga, banyak dugaan dan fitnah mereka tempuhi. Walaupun ada ketikanya amat menyakitkan, namun, dengan status selebriti yang melingkari hidup mereka, buruk atau baik terpaksalah ditelan. Sebagai suami, Khalid terpaksa menerima tempiasnya.

“Saya boleh terima gosip semuanya kerana Siti. Dia begitu tabah menghadapi apa juga gosip tanpa perlu ada rasa tekanan, tak mudah melatah dan dia bijak mengendalikan apa juga situasi yang datang.

“Apa yang boleh saya katakan, Siti walau sibuk macam mana pun dia tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri dengan baik. Panggilan telefon atau SMS adalah pengikat kasih sayang jika kami sibuk dengan tugasan masing-masing.

“Kalau nak kata cemburu, saya rasa tidak juga kerana setakat ini, saya masih dapat membezakan antara peminat Siti yang betul-betul meminatinya kerana bakat dan mereka yang mempunyai niat tidak baik terhadap Siti,” jelas Khalid yang ramah melayan media yang hadir malam itu. Menyelami hati lelaki Khalid, secara jujur, beliau mengatakan cukup bahagia menjadi suami kepada penyanyi nombor satu negara itu.

“Tiga tahun sebagai suami isteri, saya akui hidup saya indah sekali. Dia sangat baik dan ada ketika kami berkongsi naluri yang sama. Kadang-kadang apabila tergerak hati hendak telefon atau mengirimkan SMS kepadanya, rupa-rupanya dia juga mempunyai niat yang sama.

“Saya harap biarlah perkahwinan ini kekal hingga ke alam syurga, kasih sayang semakin menebal dan keluarga kami juga semakin bertambah,” kata Khalid sambil memeluk erat Siti.

Terpancar rona bahagia di wajah pasangan ini kala sesi temu bual dilangsungkan. Malah, apa juga soalan yang diajukan kedua-duanya sudi menjawabnya dengan senang hati.

Ditanya apakah hadiah yang diberikan arjuna hati bersempena ulang tahun perkahwinan mereka itu, Siti berkata, tidak ada apa yang lebih berharga selain kasih sayang yang diberikan Khalid selama ini.

“Tak minta lagi (sambil ketawa). Bagi Siti, tidak ada yang Siti mahukan kerana Siti sudah milikki segalanya. Siti hanya mahukan kasih sayang ini berkekalan sampai bila-bila serta dapat menguruskan Yayasan Nur Jiwa yang kami tubuhkan bersama dengan baik.

“Mungkin Siti mahu bercuti bersama suami ke tempat yang Siti memang teringin hendak pergi seperti Switzerland, Rom atau Maldives. Bukan sekarang tapi mungkin hujung tahun, insyaAllah,” jelas Siti yang bakal muncul dengan album kerohanian berjudul Tahajud Cinta tidak lama lagi.

Habiskan penghujung Ramadan di Makkah

BIARPUN sudah menunaikan umrah ketika Nisfu Syaaban yang lalu bersama anak lelakinya, namun Khalid masih ingin menziarah kota suci Makkah sekali lagi pada Ramadan ini. Kali ini pemergiannya ditemani Siti dan juga seorang kawan.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki saya memang mahu mengerjakan umrah sekali lagi bersama Siti. Mungkin pemergian ini nanti pada minggu akhir Ramadan kerana kami ingin mengejar keberkatan malam-malam terakhir bulan puasa di sana.

“Walaupun menunaikan umrah pada Ramadan agak mencabar kerana selain terdapat manusia yang ramai dan harga hotel yang agak mahal serta bilangannya terhad tapi kami tetap akan berusaha untuk ke sana. Sekarang saya sudah pun menghantar permohonan visa dan jika lulus saja, InsyaAllah saya akan berangkat ke sana bersama Siti dan seorang kawan,” cerita Khalid.

Mengenai sambutan 1 Syawal, Siti berkata dia akan pulang ke kampung halamannya di Kuala Lipis terlebih dulu sebaik saja pulang dari menunaikan umrah.

“Memandangkan ini adalah kali pertama kami merayakan Aidilfitri tanpa abah, jadi kami adik-beradik berpakat untuk berkumpul di Kuala Lipis.

Selepas itu barulah kami semua pulang ke rumah mentua masing-masing atau ke rumah sendiri,” kata Siti yang mempunyai tiga program raya tahun ini.

Mohon cahaya mata Ramadan



Tanggal 21 Ogos hadir lagi. Tarikh keramat dalam hidup seorang diva negara. Tiga tahun lalu, ia menjadi detik penamat segala spekulasi paling hangat dalam sejarah industri hiburan tanah air apabila Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sah memilih Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sebagai lelaki yang bertakhta dalam hatinya.

Begitu pantas masa berlalu, tiga hari lalu Siti, 30, bersama suaminya meraikan kembali detik bersejarah itu. Saat gemilang menyatukan dua jiwa.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, tanggal 21 Ogos tahun ini ternyata lebih bermakna buat penyanyi kelahiran Kampung Awah, Temerloh itu.

Jika tahun pertama ulang tahun perkahwinan mereka diraikan dengan pelbagai persembahan di sebuah hotel, tahun kedua disambut dengan majlis doa selamat di rumah, malam Sabtu lalu ulang tahun ketiga menyaksikan pasangan itu mengambil keberkatan Ramadan dengan mengadakan majlis sembahyang Tarawih di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa.

"Kebetulan kali ini tarikh ulang tahun perkahwinan kami jatuh pada malam 1 Ramadan sebab itu kami adakan majlis doa selamat dan disekalikan dengan sembahyang Tarawih.

"Kali ini memang Siti rasa ulang tahun kami lebih istimewa kerana kami dapat meraikan dan mendapatkan keberkatan bulan Ramadan," ungkap Siti mengenai majlis malam itu yang dihadiri oleh ahli keluarga dan kenalan rapat.

Mengenakan persalinan baju kurung moden rona hitam putih, Siti memberitahu, beliau berharap keberkatan Ramadan akan menambahkan lagi kebahagiaan rumah tangganya dengan suami tercinta.

"Sudah tentunya banyak perkara yang Siti harapkan daripada keberkatan Ramadan ini. Siti mendoakan agar kebahagiaan rumah tangga kami bertambah-tambah. Macam suami cakap biar sampai akhir hayat, biar sampai ke alam syurga.

"Kedua, Siti memohon agar rezeki yang lebih murah untuk keluarga kami dan ketiga sudah tentunya Siti mendoakan juga kehadiran cahaya mata sebagai penyeri kehidupan bersama suami," ujar Siti jujur.



SITI dan Khalid melihat jambangan bunga yang diterima sempena ulang tahun ketiga perkahwinan mereka.

Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti menjelang Aidilfitri, Siti turut mengakui rahmat Ramadan juga tidak mahu dilepaskan dengan memperbanyakkan amalan kebajikan melalui Yayasan Nurjiwa.

Sibuk melayan lebih 200 tetamu yang hadir pada majlis doa selamat dan solat Tarawih di kediaman mereka, Khalid yang kemudian duduk di sebelah Siti menambah : "Tiga tahun berlalu dengan begitu cepat. Pejam celik, pejam celik sudah tiga tahun. Saya rasa seperti baru semalam kami berkahwin," gurau Khalid, 50.

Tambah leaki yang terkenal dengan panggilan Datuk K, beliau telah melalui hari-hari yang sangat membahagiakan sejak menyunting Siti sebagai suri dalam hidupnya.

"Kehidupan saya dipenuhi dengan cinta dan kasih sayang.

"Syukur di atas kehidupan indah ini. Ia satu anugerah daripada Allah buat saya. Saya berdoa agar kehidupan kami akan terus dan bertambah bahagia.

"Tidak ketinggalan sudah tentu kami mengharapkan Siti akan dapat menimang seorang cahaya mata."



SITI bahagia di sisi suami tercinta biarpun dalam tempoh tiga tahun pelbagai ujian perlu ditempuhi mereka.

Mengenang kembali perjalanan mahligai cinti yang dibina selama tiga tahun itu sambil senyuman tidak pernah lekang di wajahnya, Siti mengakui dalam tempoh tersebut memang bukan sedikit ujian dan liku-liku dugaan yang cuba menggegarkan hubungan mereka suami isteri.

Sudah menjadi resam dunia glamor, gosip dan kontroversi memang tidak pernah lekang dalam kehidupan selebriti apatah lagi penyanyi nombor satu negara seperti Siti.

"Macam-macam khabar angin dan gosip yang disebarkan, entahlah Siti tunggu juga apa pula gosip selepas ini. Tetapi hakikat, gosip seperti itu jugalah yang merapatkan lagi hubungan kami," luah Siti.

Sepanjang tempoh tiga tahun ini, antara gosip yang pernah difitnah kepada pasangan itu termasuklah Siti pernah dipukul Khalid, selain ahli perniagaan itu dikatakan memadukan Siti apabila mendiri rumah tangga dengan seorang pramugari.

"Saya bersyukur Siti tidak melatah dan tidak stres dengan satu demi satu gosip yang difitnah ke atas kami. Sebaliknya, kadang-kadang saya yang jadi tertekan.

"Tetapi Siti pandai menuetralkan gosip. Ikutkan hati memang tidak mahu layan, tetapi bila orang bertanya kita terpaksa jawab. Harapnya tidak adalah lagi fitnah selepas ini," pinta Khalid yang selalu diusik sebagai lelaki bermisai tebal.



IBU Khalid, Siti Zainab Hanafi (dua dari kanan) dan ibu Siti, Siti Salmah Bachik turut hadir pada majlis ulang tahun ketiga Siti dan suaminya di Bukit Antarabangsa.

Ditanya tentang resipi kebahagiaan rumah tangga mereka yang mungkin boleh menjadi panduan masyarakat di luar, Siti tidak berahsia bahawa dalam alam perkahwinan perlu ada tolak ansur.

"Sebenarnya ada pasangan artis lain yang bertahan lebih lama dan boleh dijadikan rujukan.

"Tetapi kalau bagi Siti sendiri, yang penting dalam alam rumah tangga kita perlu terima setiap pasangan kita seadanya. Kita perlu terima baik buruk dia, barulah kita jadi seorang isteri yang bersyukur," kongsi penyanyi yang popular dengan lagu seperti Di Taman Teman dan Di Kayangan Kita.



SITI dan Khalid memotong pulut kuning sambil diperhatikan oleh ahli keluarga mereka.

Mencelah jawapan isterinya, Khalid memberitahu, beliau belajar untuk menyesuaikan diri dengan perasaan bahawa Siti adalah milik masyarakat.

"Lelaki biasanya ada perasan possesive (memiliki dan cemburu). Menjadi suami kepada Siti Nurhaliza, saya belajar untuk menerima hakikat Siti adalah penyanyi kesayangan masyarakat.

"Namun, yang penting membuatkan hubungan kami terus kekal bahagia, Siti tidak lupakan suaminya. Dia (Siti) hanya memikirkan saya difikirannya setiap masa," luah Khalid.

Dipuji begitu Siti mengakui dalam kesibukan kerjaya masing-masing, mereka tidak pernah lupa saling berhubung.



SITI (tiga dari kiri) berpelukan dengan jemaah wanita selepas sembahyang Isyak dan Tarawih di kediamannya di Bukit Antarabangsa.

Itu menjadi tanda mereka sentiasamengingati dan mengambil berat.

"Ada masanya belum Siti telefon suami, dia (Khalid) sudah telefon terlebih dahulu. Siti akan bagi tahu yang Siti baru hendak telefon dia.

"Mungkin sudah naluri suami isteri, masing-masing tidak pernah putus berhenti saling mengingati," ungkap Siti lagi.

Ramadan ini selain ke Melbourne, Australia menghantar anak ketiga Khalid, Mohd. Ashraf menyambung pengajian di sana, pasangan itu juga dijangka menunaikan umrah bersama di Tanah Suci.
Ramadan yang berbeza



SITI Nurhaliza dan Khalid Mohamad Jiwa memotong kek ulang tahun perkahwinan ketiga mereka sambil diperhatikan oleh ahli keluarga di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Buat pertama kalinya, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menyambut Ramadan tanpa kehadiran orang tersayang di sisinya tahun ini.

Orang yang dimaksudkan itu adalah bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail yang meninggal dunia 15 Februari lalu akibat serangan jantung selain komplikasi buah pinggang dan kencing manis.

Tidak dapat menyembunyikan kesedihannya, Siti Nurhaliza menyifatkan Ramadan tahun ini kurang meriah berbanding tahun sebelumnya apabila mengenangkan ketiadaan bapa di sisinya.

"Memang sedih apabila teringat kenangan lalu berpuasa dengan arwah abah. Dia suka melihat anak-anaknya berkumpul sewaktu berbuka dan bersahur.

"Dia hanya akan menjamah makanan selepas anak-anaknya selesai menikmati hidangan. Itulah yang paling digemari arwah setiap kali anak-anaknya pulang ke kampung ketika bulan Ramadan," ujar Siti Nurhaliza dalam nada tenang.

Siti Nurhaliza ditemui pada majlis doa selamat sempena menyambut Ramadan sekali gus meraikan sambutan ulang tahun ketiga perkahwinan di kediamannya di Bukit Antarabangsa di sini malam ini.

Mujurlah, kata Siti Nurhaliza, dia dan adik-beradiknya masih berpeluang menyambut Ramadan bersama ibu mereka, Siti Salmah Bachik di kampung halamannya di Kuala Lipis, Pahang.

Sempena kedatangan Ramadan tahun ini juga, Siti Nurhaliza mahu mengambil berkat bulan mulia itu dengan memanjatkan doa agar memperoleh kebahagiaan yang berpanjangan menerusi perkahwinannya.

Malah, dia mengakui sepanjang tiga tahun mendirikan rumah tangga, dia beruntung kerana suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa cukup memahami kariernya sebagai seorang artis.

"Alhamdulillah. Saya tidak menyangka usia perkahwinan saya sudah pun mencecah tiga tahun. Rasa pantas sangat waktu berlalu.

"Walaupun rumah tangga kami sering kali diuji dengan cerita-cerita negatif, namun itulah yang menguatkan lagi ikatan perkahwinan kami dalam menempuhi kehidupan," katanya penuh makna.

Siti Nurhaliza dan Khalid mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006 dalam satu majlis yang cukup meriah di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Turut hadir bagi meraikan pasangan ini adalah ahli keluarga serta teman-teman rapat kedua-dua belah pihak.

Menyambung bicara, jelas Siti, dia mengakui sejak mendirikan rumah tangga, dugaan dan cabaran yang ditempuhinya sememangnya cukup besar.

Sehinggakan, setiap tahun ada sahaja berita kurang enak yang diperkatakan tentang pasangan itu.

"Saya tidak mengerti bagaimana cerita-cerita sebegini boleh tersebar sedangkan rumah tangga saya bahagia dan berjalan dengan baik.

"Sampaikan saya dan suami ternanti-nanti apakah cerita yang akan tersebar pula selepas ini," ujar penyanyi lagu Di Taman Teman dan Bicara Manis Menghiris Kalbu ini.

Ditanya tentang hadiah ulang tahun yang diterimanya, sambil tersenyum Siti Nurhaliza memberitahu, perkara itu belum difikirkan lagi.

Tidak mengharapkan sebarang hadiah mewah dan mahal, sebaliknya penghibur berusia 30 tahun ini hanya mahu kasih sayang dan cinta berterusan daripada suami tercinta.

Atau mungkin hadiahnya adalah zuriatnya sendiri, ini jawapan Siti Nurhaliza: "Pastinya, kami akan sabar menanti akan sesuatu yang akan melengkapkan kehidupan kami sebagai satu keluarga dan kami percaya rezeki itu tetap ada untuk kami."

Doa Siti



KATA nista mahupun gosip liar, nyata Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 30, bukanlah orang yang sesuai untuk diuji kerana dia sudah cukup kebal dengan kerenah dunia seni yang penuh ranjau dan duri.

Hamburlah dengan sejuta tohmahan sekalipun, ia tidak menjadi kudis buat wanita yang sentiasa mengekalkan sifat merendah diri tanpa mendabik dada dengan kehidupannya yang berprofil tinggi.

Malah, setiap dugaan dilalui dengan tenang dan sabar. Moleknya sifat dan budi pekerti insan bernama Siti ini, dia terus dijulang peminat tanpa mampu digugat meskipun selepas berstatus isteri.

Ketabahan Siti melayari dunia seni turut mengagumkan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K, lelaki bertuah kerana memiliki hatinya.

Selesai solat Tarawih dan sambutan ulang tahun perkahwinan ketiga 3 pasangan ini yang diadakan di kediaman mewah Datuk K di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Jumaat bersamaan 21 Ogos lalu, Datuk K membuat satu pengakuan yang menyentuh semua hati wakil media yang hadir.

"Dek kerana Siti saya belajar menghadapi gosip kerana dia seorang yang tidak melatah dan tidak pernah tunjuk perasaan marah setiap kali berhadapan situasi (gosip) begini. Siti pandai mengendali serta menjernihkan keadaan.

"Cuma itulah, setiap gosip yang diperkatakan walaupun tidak benar ia meninggalkan kesan kepada masyarakat. Dari mula kahwin gosip tidak pernah lekang dari hidup kami," katanya.

Celah Siti, dia memilih untuk bergelumang di lapangan seni dan kerana itulah dia harus mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan kontroversi serta gosip yang adakalanya menguji kesabaran dan keimanan.

"Keadaan yang terjadi membuatkan kami susah untuk menjawab. Lebih-lebih lagi terpaksa menjawab banyak kali.

"Kalau ikutkan saya dan suami lebih senang untuk tidak bercakap atau memberi sebarang komen, tetapi tidak adil bagi peminat serta masyarakat yang ingin mengetahui keadaan sebenar. Jadi mahu ataupun tidak terpaksa juga kena menjawab.

"Jadi saya harap tiada lagi gosip dibangkitkan dan tidak diselubungi fitnah. Saya mengerti fitnah itu adalah dugaan dari Allah s.w.t, tetapi saya juga manusia biasa. Janganlah fitnah yang dibuat itu sampai menjatuhkan maruah," katanya.

Akui Siti, sambutan ulang tahun kali ini memberikan makna cukup mendalam meskipun ia diadakan dalam suasana cukup sederhana berbanding dua tahun sudah.

Majlis yang bermula selepas solat Maghrib itu dihadiri lebih kurang 50 tetamu yang terdiri keluarga terdekat, sahabat handai serta kenalan rapat.

"Memang kami sudah rancang, kebetulan pada malam ini hari pertama mula bertarawih, justeru kami ingin mengambil berkat Ramadan.

"Sejak Jumaat lepas dan Jumaat yang seterusnya di rumah ini kami adakan sembahyang jemaah yang dikendalikan ustaz yang hadir mengendalikan majlis malam ini.

"Di samping solat jemaah, majlis turut diisi dengan tazkirah disampaikan ustaz.

"Sambutan Ramadan kali ini cukup istimewa kerana tarikhnya jatuh pada ulang tahun perkahwinan ketiga kami," katanya.

Berhubung harapannya sempena meraikan ulang tahun perkahwinan yang ketiga, jawab Siti, sudah semestinya dia mengharapkan jodoh mereka berpanjangan serta dikurniakan anak.

"Untuk rumah tangga, semestinya mahukan rumah tangga berkekalan hingga ke akhir hayat. Bak kata suami, berkekalan hingga ke syurga. Selain mengharapkan rezeki bertambah dengan kehadiran cahaya mata," katanya.

Mengakui belum sempat meminta hadiah istimewa daripada suami, Siti berkata, apa yang dimilikinya sekarang serta bersuamikan seorang yang bertanggungjawab sudah cukup membuatkannya mensyukuri nikmat Yang Maha Besar.

"Saya bersyukur dengan nikmat pemberian Ilahi dengan apa yang saya ada sekarang. Kalau ditanya hadiah ulang tahun, saya tidak kisah.

"Jika mahu sekalipun, mungkin saya mengajak suami pergi bercuti. Di mana, itu belum sempat saya fikirkan lagi, tetapi ada dua tempat yang sudah lama saya kepingin untuk pergi iaitu Switzerland dan Rome," katanya.

Destinasi bulan madu yang ketiga belum sempat dirancang, bagaimanapun pada 3 September nanti, Siti dan suami akan berangkat ke Australia untuk menghantar Ashraf (anak ketiga hasil perkahwinan Datuk K bersama bekas isteri) yang melanjutkan pengajian di negara kangaru itu.

"Ashraf akan menyertai dua lagi abangnya yang berada di sana dan kesempatan itu turut digunakan kami menjenguk anak sulung dan kedua," katanya.

Jika tiada aral, Siti dan suami merancang menunaikan umrah Ramadan ini dan melakukan ibadah itu dua minggu sebelum menyambut Aidilfitri.

Sementara Datuk K yang menikahi Siti pada tanggal 21 Ogos 2006, berkata walaupun sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama Siti namun, dia terasa bagaikan semalam menikahi biduanita juga pemilik suara merdu itu.

"Tiga tahun rasa sekejap, macam baru semalam kami bernikah. Alhamdulillah, tiga tahun ini kami lalui rumah tangga dengan tenang, gembira, penuh dengan kasih sayang, perhatian dan setiap hari saya jalani hidup dengan indah.

"Siti anugerah Allah s.w.t. Saya berharap hubungan kami bertambah-tambah bahagia lagi, malah berkekalan ke akhir hayat hingga sampai syurga.

"Sama seperti Siti katakan tadi, saya juga doakan Siti dapat cahaya mata untuk menambahkan lagi keceriaan, sekali gus menjadi penyeri dalam rumah tangga kami," katanya.

Datuk K sedar ramai yang begitu cemburu terhadap Siti malah, jika kebanyakan suami punya perasaan cemburu apabila isteri menjadi tumpuan ramai, dia tidak boleh berasa seperti itu dalam banyak hal kerana akur Siti milik masyarakat.

"Saya kena biasakan diri. Namun saya sangat bersyukur, Siti walaupun kadangkala sibuk, dia pandai bahagikan masa untuk saya.

"Alhamdulillah sampai sekarang kami cukup bahagia biar ada yang cuba menduga rumah tangga kami, saya percayakan Siti kerana 'dia hanya ada saya dalam fikirannya.'

"Kadang-kadang itu memanglah Siti tidak sempat masak mahupun menemani saya makan tengah hari hari atau makan malam, tetapi apabila ada waktu dia akan beri seluruh perhatian kepada saya," katanya.

Sementara Siti pula ketika berkongsi tip rumah tangganya, berkata, dia sentiasa memastikan ada komunikasi yang baik dengan suami.

"Ramai pasangan yang mampu mempertahankan rumah tangga lebih lama berbanding saya yang baru melangkau tiga tahun. Cuma apa yang boleh saya katakan, kita harus menerima pasangan kita seadanya.

"Memastikan suami tidak berasa terabai saya pastikan sentiasa wujud komunikasi antara kami," katanya bakal muncul dengan album kerohanian, Tahajud Cinta masa terdekat ini.










Semoga bahagia hingga ke akhir hayat..

2 comments:

  1. ida.. bestnya baca artikel ni. kak ida nak copy n paste letak kat blog kak ida yea.. sebab ramai lagi kat luar tu masih percaya cerita2 negatif tentang ct n dk.
    tq.

    ReplyDelete
  2. heheh..boleh je kak ida..ida pun copy gak..sama2 kite lakukan apa yg mampu..

    ReplyDelete