Thursday, August 27, 2009

SALURAN SITI D'ASTRO

Dato’ Siti Nurhaliza Dah Ada Saluran Istimewa Sempena Merdeka

Hari Kemerdekaan

Kuala Lumpur, 25 Ogos 2009 – Istimewa sempena Hari Kemerdekaan yang ke-52, Astro dengan bangganya membawakan saluran dedikasi istimewa buat pelanggan-pelanggan Astro serta peminat-peminat setia Dato’ Siti Nurhaliza dengan mempersembahkan saluran ‘SITI’ (saluran 188).

Dato’ Siti Nurhaliza & Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro

Saluran SITI ini boleh dinikmati oleh semua pelanggan-pelanggan Astro secara percuma dalam satu tempoh yang terhad selama dua hari tanpa henti iaitu dari 30 Ogos 2009, jam 8.00 malam sehingga 31 Ogos 2009, jam 11.59 malam.

Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Encik Khairul Anwar Salleh, “Bersesuaian dengan Kempen NegaraKU, The Best of 1Malaysia yang dianjurkan oleh Astro, kami ingin meneruskan hasrat dalam memaparkan program-program yang menceritakan kejayaan individu dalam mengharumkan nama dan sejarah negara.

Seperti yang semua sudah sedia maklum, Dato Siti Nurhaliza bukan sahaja telah mengharumkan nama negara tetapi juga di persada antarabangsa dalam industri hiburan. Sebagai warga korporat, kami amat berbangga dengan pencapaian beliau dan ingin berkongsi kegembiraan ini dengan pelanggan-pelanggan setia kami.”

“Sebagai meraikan para pelanggan yang tidak jemu-jemu menyokong dan menonton program-program siaran Astro, kami ingin mengucapkan terima kasih dengan membuka sebuah saluran dedikasi istimewa buat penghibur nombor satu negara; Dato’ Siti Nurhaliza secara percuma.

Kami mahu merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada para pelanggan kami dengan menyiarkan Konsert SATU Dato’ Siti Nurhaliza yang berlangsung pada bulan Jun baru-baru ini di Istana Budaya.

Konsert eksklusif Dato’ Siti Nurhaliza yang telah diadakan hanya mampu dikongsi bersama lebih kurang 4,200 orang yang datang menonton tetapi kami di Astro memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan semula rakaman konsert ini secara percuma. Inilah hadiah istimewa Astro buat para pelanggan setia kami,” ujar Khairul lagi.

Saluran SITI yang boleh didapati secara percuma ini bakal menyiarkan rakaman Konsert SATU Dato’ Siti Nurhaliza yang telah diadakan di Istana Budaya pada 26 – 28 Jun 2009 baru-baru ini.

Konsert istimewa yang menyaksikan gabungan visual grafik, pemilihan lagu, koreografi tari dan alunan muzik telah digunakan sepenuhnya oleh Dato’ Siti dalam menghiburkan para peminatnya dengan membawakan 30 buah lagu tanpa henti dalam masa dua jam.

Konsert yang telah dikemudikan oleh Pat Ibrahim selaku pengarah konsert dan diiringi oleh 20 orang pemuzik di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta 25 penari latar di bawah bimbingan Pat, Azwa dan Suhaili ternyata memberikan impak yang sangat besar dalam sejarah penting dunia seni hiburan.

“Selain dari konsert SATU yang menjadi tunggak utama bagi saluran dedikasi istimewa ini, kami juga akan menyiarkan Konsert Fantasia Tour Dato’ Siti Nurhaliza di Bukit Jalil pada tahun 2004 di samping klip-klip video muziknya secara berselang-seli secara bonus,” tambah Khairul lagi.

Jangan lupa untuk menyaksikan saluran dedikasi khas, SITI di saluran 188 secara percuma selama dua hari tanpa henti pada hujung minggu ini. Eksklusif buat pelanggan-pelanggan Astro!





KUALA LUMPUR, 27 OGOS 2009: Segala-galanya tidak mustahil jika anda bergelar Dato' Siti Nurhaliza Taruddin. Ini kerana anda juga boleh mendapat saluran TV sendiri!

Itulah berita menarik untuk semua peminat Siti apabila sebuah saluran yang dinamakan 'Saluran Siti' (Saluran 188) akan diwujudkan oleh Astro khas sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke- 52 ini.

Menarik tentang Saluran Siti itu, ia akan memaparkan secara eksklusif Konsert Satu Siti yang telah pun dijayakan di Istana Budaya (IB) pada Jun lalu bersama Konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour serta paparan klip muzik video lagu-lagu hits nyanyian Siti secara berselang-seli.

Saluran Siti ini boleh dinikmati oleh semua pelanggan Astro secara percuma dalam satu tempoh yang terhad selama 2 hari tanpa henti iaitu pada 30 Ogos dan 31 Ogos 2009 ini bermula dari jam 8 malam sehinggalah berakhir jam 11.59 tengah malam.

Siti yang ditemui di majlis sidang media berkata, dia tidak menyangka Astro akan mendedikasikan sebuah saluran yang khusus buat dirinya.

"Ini adalah satu penghormatan yang cukup besar serta bermakna buat diri Siti sebab dalam ramai-ramai artis, Siti yang mereka pilih untuk bekerjasama. Walaupun saluran ini hanya diadakan dalam tempoh yang singkat, ia cukup istimewa kerana diadakan dalam tema Kemerdekaan.

"Ia bersesuaian dengan apa yang cuba kita tonjolkan dalam Konsert Satu. Sekalipun konsert itu bukan diadakan pada Bulan Kemerdekaan tetapi semangat yang ingin kita tonjolkan dalam konsert itu tetap sama," katanya.

Sambung Siti lagi, dia sedar tidak ramai peminatnya yang berkesempatan menyaksikan konsert itu di Istana Budaya akibat kehabisan tiket.

"Tapi dengan adanya paparan konsert ini di Saluran Siti, saya harap ia dapat memberi kesempatan kepada peminat yang tidak berpeluang ini untuk menyaksikan menerusi kaca televisyen. Sambil-sambil menunggu waktu untuk bersahur, bolehlah tengok konsert ini di Saluran Siti," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, pula berkata, sebagai meraikan pelanggan yang tidak jemu-jemu menyokong serta menonton program siaran Astro, pihaknya berusaha membuka sebuah saluran dedikasi istimewa buat penghibur nombor satu negara itu secara percuma.

"Dalam Konsert Satu yang telah diadakan selama tiga hari berturut-turut itu, ia hanya mampu dikongsi lebih kurang 4,200 penonton sahaja tetapi kami di Astro memberi peluang kepada semua orang untuk menonton rakaman konsert ini.

"Ini adalah salah satu cara bagi kami mengucapkan terima kasih kami kepada anda semua dan ini adalah hadiah istimewa Astro buat semua pelanggan setia kami. Harapan kami, semoga sokongan yang seumpama itu akan terus diberikan pada masa-masa yang akan datang," katanya.

Menurut Khairul Anwar lagi, apa yang cuba dipaparkan di dalam Saluran Siti sememangnya bersesuaian dengan Kempen Negaraku, The Best of 1Malaysia yang dianjurkan Astro sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-52 ini.

"Atas dasar itu, kami ingin meneruskan hasrat dalam memaparkan program-program yang menceritakan tentang kejayaan individu tertentu dalam mengharumkan nama dan sejarah negara.

"Seperti yang ada semua sedia sedia maklum, Dato Siti Nurhaliza bukan saja telah mengharumkan nama negara tetapi juga di persada antarabangsa dalam industri hiburan. Sebagai warga korporat, kami amat berbangga dengan pencapaian beliau dan ingin berkongsi kegembiraan ini dengan pelanggan-pelanggan setia kami,” katanya.

Konsert Satu Dato Siti Nurhaliza menyaksikan gabungan grafik, pemilihan lagu, koreografi tari serta alunan muzik yang telah digunakan penyanyi itu menerusi 36 buah lagu tanpa henti dalam masa 2 jam.

Dikemudikan Pat Ibrahim selaku pengarah konsert denan diiringi 20 orang pemuzik di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta 25 penari latar di bawah bimbingan Azwa dan Suhaili dan Pat sendiri, konsert itu ternyata telah memberikan impak yang sangat besar dalam sejarah penting dunia seni hiburan.




Siti tak mahu 'syok sendiri'




ISTIMEWA sempena meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-52, penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza diberikan penghormatan oleh Astro dengan menampilkan saluran khas 'SITI' yang boleh disaksikan secara percuma di saluran 188.

Selama dua hari tanpa henti bermula 30 Ogos ini pada pukul 8 malam sehingga 31 Ogos, jam 11.59 malam, saluran istimewa SITI ini bakal menyiarkan rakaman konsert Satu Datuk Siti Nurhaliza yang telah diadakan di Istana Budaya pada Jun lalu sebagai siaran utamanya.

Turut akan ditayangkan menerusi saluran itu ialah Konsert Siti Nurhaliza Fantasia dan video muzik penyanyi tersohor itu.

"Saya memang terharu sangat kerana dalam ramai-ramai artis, saya yang dipilih oleh Astro untuk bekerjasama bagi menghasilkan saluran SITI ini. Bagi saya, saluran ini memang amat istimewa kerana buat pertama kalinya, konsert Satu akan ditayangkan di televisyen.

"Bagi saya, konsert itu memang 'kena' dan bersesuaian dengan Hari Kemerdekaan kerana sedikit sebanyak ia turut menyahut seruan 1Malaysia.

"Apapun, saya memang bersyukur kerana ini merupakan satu penghargaan dan pencapaian yang baik dalam karier saya," kata Siti pada satu temubual khas bersama media di Astro, semalam.

Menurut Siti, walaupun saluran istimewa itu hanya menemui penonton selama dua hari, namun, katanya, ia sedikit sebanyak mampu menjadi platform yang baik untuk sebarang perancangan lain pada masa depan.

"Kalau ikutkan, memang syok ada saluran sendiri sepanjang masa. Tapi macam syok sendirilah pulak...Tapi kalau ada tawaran, apa salahnya kan. Bukannya apa, kalau ada saluran sendiri, banyak yang boleh dikongsi dengan penonton.



"Lagipun saya sendiri ada menerbitkan program sendiri, mungkin boleh buat 'gameshow'...macam-macamlah. Apapun, saya sudah cukup gembira dengan saluran khas selama dua hari ini.

"Bagi saya, ini adalah satu permulaan," tutur Siti yang menambah, kandungan program di dalam saluran itu merupakan perbincangan bersama antara dia dan pihak Astro.

Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, idea untuk menghasilkan saluran istimewa itu tercetus kerana merasakan ia bersesuaian dengan bulan kemerdekaan.

"Kita memang dari awal lagi memilih Siti setelah melihat kejayaan konsert SATU tidak lama dulu. Dan konsert itulah yang akan menjadi siaran utama dalam saluran ini selain program-program lain.

"Memandangkan juga Hari Kemerdekaan disambut dalam bulan Ramadan, kami kena mengambilkira banyak perkara.

"Kami merasakan saluran SITI ini memang sesuai untuk Ramadan kerana masa siarannya juga fleksibel untuk penonton pilih.

"Malah, selain konsert SATU, kami juga akan menyiarkan Konsert Fantasia Tour Siti di Bukit Jalil pada tahun 2004 di samping video muziknya berselang-seli secara bonus.

"Ini adalah hadiah istimewa Astro kepada pelanggan-pelanggan setia kami," kata Khairul yang menambah, program-program dalam saluran itu akan diulangtayang mengikut jadual yang ditentukan.

Ditanya sama ada idea ini mungkin akan diteruskan dengan membabitkan artis-artis lain pula kelak, kata Khairul, semuanya bergantung kepada acara dan artis itu sendiri.

"Kita kena lihat kepada kapasiti yang kita ada...bergantung kepada artis dan acara itu sendiri. Jika kita merasakan ia sesuai, kita akan ketengahkah," tambahnya lagi.

2 comments:

  1. wah bestnya. ada saluran siti. dua hari bertutrut2. tu dah kira bagus sgt dah tu.. hehe. sukanya!!! thanks ida for the info.

    ReplyDelete