Kena pula dengan judul konsert 'SEARCH... di awan biru', persembahan konsert kali ini bagaikan mengimbau kembali zaman kegemilangan rock 80-an satu ketika dahulu.
Dengan kehadiran seramai 25,000 penonton pada malam konsert yang telah berlangsung pada 1 Ogos di Bukit Kiara Ekuestrian ini membuktikan band rock tempatan kita masih mempunyai kehebatan tersendiri jika dibandingkan dengan band-band dari negara luar.
Search yang dianggotai Amy (Vokal), Hillary (Gitar utama), Din (Gitar kedua), Nasir (Bass) dan Yazit (Drum) berjaya membuktikan mereka sebagai lagenda rock di Malaysia yang masih mampu memberikan persembahan hebat tanpa henti dengan menyanyikan 23 buah lagu hit mereka.
Biarpun konsert yang dijadualkan bermula pada pukul 8 malam ini bermula lewat pada pukul 10 malam, namun kesetiaan peminat-peminat Search tidak menghalang mereka untuk menunggu selama 2 jam sehingga konsert bermula.
Persembahan pembukaan yang diberi Search begitu menggamit suasana ketika itu, namun masalah pada set generator pada lagu kedua menyebabkan konsert terpaksa dihentikan selama lima minit.
Ketika itu dapat dilihat reaksi para penonton yang tidak berpuas hati dengan keadaan ketika itu kerana mereka baru sahaja 'memanaskan badan' (warm up) bersama dua buah lagu yang dimainkan Search.
Namun semua masalah tadi hilang apabila konsert tersebut berjaya diteruskan dan Search berjaya mengalih semula tumpuan penonton yang hadir dengan persembahan mantap mereka.
Rindu peminat-peminat Search untuk melihat kumpulan ini beraksi secara 'live' bagaikan terubat hinggakan semua golongan umur datang untuk melihat konsert ini.
Dari yang veteran hingga ke kanak-kanak hadir untuk melihat Search beraksi.Kesemua penonton bagaikan terpukau dengan persembahan yang diberikan Search, jeritan dan laungan dari penonton sentiasa kedengaran.
Setiap rangkap lagu tidak lekang dinyanyikan oleh penonton yang hadir, malah ada yang bersedia melakukan 'head banging' biarpun sering dihalang oleh pihak keselamatan.
Konsert ini semakin gamat apabila penampilan khas Kid (Gitaris) yang merupakan bekas ahli Search tampil berganding bersama ahli yang lain ketika Search sedang menyampaikan lagu 'Isabella' dan persembahan Kid pada malam itu menambahkan kehangatan konsert tersebut.
Search telah menyampaikan lagu-lagu hits mereka seperti Panggung Khayalan, Pemuzik Jalanan, Laila Namamu Teratas, Paranoid, Pelesit Kota, Setelah Hujan, Langit dan Bumi, Gelora Cinta, 3G, Bencana, Isi atau Kulit, Gothik Malam Edan, Fenomena, Isabella, Menara Kesesatan, Emanuelle, Hello Kawan, Mat Rock+Pasti, Melastik ke Bintang, Habil Qabil, Pawana dan Fantasia Bulan Madu.
Lagu Fantasia Bulan Madu menjadi lagu terakhir pada konsert tersebut, kesemua penonton masih tidak mahu konsert itu berakhir dan mahukan Search meneruskan persembahan biarpun kumpulan itu telas meninggalkan pentas.
Jadi kehebatan Search masih lagi terbukti biarpun zaman ini muncul berbagai-bagai jenis kumpulan rock anak muda.
Search yang ditemui selepas konsert tersebut mengatakan perasan mereka terhadap konsert ini bagaikan satu perkara luar biasa.
"Konsert pada malam ini adalah 'beyond expectation' kami kerana kami dapat penonton yang berbeza, venue juga berbeza dan yang paling penting hari ini merupakan hari yang banyak isu.
"Jika siang tadi kecoh dengan isu demonstrasi ISA, malam pula dengan konsert kami dan kehadiran penonton masih lagi ramai jadi ini sesuatu yang diluar jangkaan hinggakan bas yang kami naiki tersangkut dalam kesesakan untuk sampi ke Bukit Kiara Ekuestrian ni.
"Kami terpaksa berlari untuk sampai ke tapak konsert sehinggalah ada krew-krew yang datang jemput kami dengan menaiki motor," kata Amy yang merupakan penyanyi utama kumpulan ini.
Search selepas ini akan meneruskan tour mereka hingga ke Manchester dan Dublin pada bulan Oktober dan Februari tahun depan.
Search masih bertenaga | |
|
Jalan menuju ke Polo Pavilion Bukit Kiara, Kuala Lumpur sesak dengan peminat yang berpusu-pusu menuju ke Konsert Penghargaan Search di Awan Biru sejak 3.00 petang 1 Ogos lalu.
Bagai kembali ke zaman 90-an melihat muda-mudi berpakaian ala rocker. Suasana gamat dirasai dan terkenang kembali masa kecil ketika zaman kegemilangan Search.
Hati berdebar saat menanti ketibaan lagenda rock ke tapak konsert, namun terbantut gara-gara kelewatan yang berlaku. Konsert yang dijadualkan bermula pukul 8.45 malam terpaksa ditunda sehingga satu jam.
Puncanya, jalan masuk yang sesak sehingga menyekat perjalanan anggota Search masuk ke dalam. Masakan tidak, laluan masuk dipenuhi ribuan kenderaan yang menjadikannya sebagai medan letak kereta.
Penantian tamat apabila Search yang dianggotai Amy (vokalis), Nasir (bes), Yazid (dram), Hillary (gitar), Din (gitar) dan Kid (gitar) membuka tirai dengan Panggung Khalayan.
Sorakan lebih 15,000 peminat yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur menggamatkan suasana. Tambah menggamatkan, lagu yang disampaikan hampir kesemuanya membuatkan penonton turut sama head banging. Satu suasana yang cukup jarang dapat dilihat pada era yang menyaksikan kebangkitan muzik indie.
Seperti yang dijanjikan, Kid, bekas gitaris Search muncul tatkala lagu Isabella dipersembahkan. Kid hadir mengiringi enam buah lagu dalam konsert tersebut. Kehadiran Kid memberi impak yang cukup besar terhadap peminat yang ternanti-nantikan kemunculannya.
Ada rasa janggal
Walau bagaimanapun, konsert ini dilihat lebih kepada eksperimental kerana lagu yang disampaikan agak janggal pada pendengaran halwa telinga penonton yang bukan peminat fanatik. Hanya beberapa buah lagu seperti Isabella, Pawana, Laila Namamu Teratas dan Fantasia Bulan Madu yang ikut sama menjadi siulan peminat.
Rata-rata yang menghadiri konsert menyatakan rasa kurang berpuas hati memandangkan ini adalah konsert terakhir Search dalam industri muzik tanah air. Pemilihan lagu yang kurang popular menyebabkan penonton terasing kerana tidak dapat mengikut setiap bait lagu yang dinyanyikan.
Seharusnya dalam konsert terakhir seperti yang diuar-uarkan, Search seharusnya mengenengahkan lagu hit yang pernah menjadi siulan satu ketika dulu.
Namun satu fakta yang tidak dapat dinafikan, persembahan Search sangat mengagumkan walaupun usia mencecah separuh abad.
Cukup luar biasa
Polo Pavillion Bukit Kiara Equestrian & Country Resort dibanjiri 25,000 peminat kumpulan Search
WALAU apa terjadi, kumpulan Search akan terus dikenang sebagai legenda yang memperjuangkan jalur muzik rock. Sepanjang 28 tahun merentasi liga seni, kumpulan yang diketuai Amy ini terus mencipta fenomena tersendiri. Malah tidak keterlaluan, mereka meletakkan genre rock itu sebagai penanda aras mengisi ruang hiburan di negara kita khususnya.
Tidak hairan juga setiap kali mengadakan konsert, sambutan yang diperoleh cukup luar biasa. Pada usia menghampiri atau mencecah setengah abad di kalangan anggotanya, sisi energetik mereka di atas pentas masih mempunyai aura dan kelas tersendiri sehingga dilabel sebagai ikon rock unggul tempatan.
Bagaimanapun, umum juga sedia maklum, legasi seni yang menjadi kebanggaan ramai ini akan sampai ke penghujung destinasinya. Penjelajahan konsert yang ditaja syarikat telekomunikasi terkemuka, Celcom ini juga dikatakan sebagai isyarat mengucapkan selamat tinggal kepada penggemar Search.
Mahu atau tidak, keputusan ini sebenarnya pasti mengecewakan dan terlalu pahit untuk ditelan. Selepas menjadi kumpulan rock perintis di Malaysia sejak era 1980-an, hakikatnya kini anggota Search dalam peringkat ‘separuh persaraan’. Lumrah setiap rentak permulaan pasti ada pengakhiran.
DARI kiri, Kid dan Hillary memukau penonton. Nabila dan Kat hadir memberi sokongan. Antara penonton yang teruja menyaksikan konsert Search. |
Amy Search ketika ditemui media sejurus selepas konsert berakhir sekitar jam 12.30 tengah malam mengakui masih sayang dengan Search. Bagaimanapun keputusan rasmi sama ada proses pembubaran itu akan menjadi kenyataan atau sebaliknya masih tinggal tanda tanya.
“Soal mahu bubar atau tidak, kami akan sama-sama putuskan selepas selesai siri persembahan konsert kami. Kita tunggu sajalah. Lagipun Selepas Aidilfitri nanti, kami akan meneruskan persembahan di Sabah dan Sarawak. Insya-Allah juga, selepas dua negeri itu, kami akan ke Batu Pahat.
“Ketika ini juga kami sudah mendapat lampu hijau untuk terbabit dalam persembahan gig di Manchester selama dua minggu mulai Oktober ini. Undangan membuat persembahan turut dirangka ke London dan Dublin hingga Februari tahun depan. Bahkan kami akan membuat persembahan di beberapa lokasi di Indonesia.
“Pihak Celcom pun berminat untuk menganjurkan satu lagi konsert di Stadium Merdeka. Namun, semuanya masih dalam peringkat perbincangan dan belum ada kata putus. Kalau jadi, pastinya momen dan ingatan indah sewaktu kami mengadakan Konsert Evolusi Search pada 2004 di stadium itu dapat dikenang kembali,” kata Amy sambil ditemani anggota yang lain, Yazid, Hillary, Kid, Din dan Nasir ketika sidang media dijalankan.
Kalau ada yang masih ingat, Search pernah mengumumkan pembubaran mereka pada 16 Januari 2001. Ketika itu pelbagai andaian mula bermain-main di fikiran kerana ada yang melihat pembubaran itu hanya sekadar langkah ‘berehat sementara’ dan tidak kurang juga yang mewujudkan persepsi Search akan terus berkubur begitu saja.
Ketika itu, kebarangkalian untuk mereka bersatu kembali juga dikatakan agak tipis. Namun, ironinya, tidak wujud istilah bubar atau bersara sebenarnya kerana bayangkan sampai sekarang, Search sebenarnya masih bernyawa. Desas-desus pembubaran Search berkemungkinan akan berlaku pada 2010.
"Mungkin juga Search hanya akan bersatu dalam projek khas dalam keadaan tertentu. Lagi pun seiring dengan usia kewujudan kumpulan kami, lebih baik kami tidak terlalu muncul di khalayak secara kerap demi menjaga nilai eksklusif yang sering dipraktikkan sesetengah artis di negara kita," kata Amy yang kini lebih selesa berimej botak berbanding di awal kemunculan dulu dengan gaya berambut panjang.
Sistem bunyi jejas perjalanan konsert
SEMENTARA itu, beralih kepada perjalanan konsert yang bermula jam 9.45 malam, ia pada dasarnya nampak seperti sempurna pada mata kasar. Jika peminat setia kumpulan ini terus larut dengan seleksi sekitar 25 buah lagu yang dialunkan Amy tanpa memikirkan perihal lain dan hanya memejam mata, mungkin konsert itu boleh dikatakan berjaya.
Bahkan, jumlah penonton yang hadir juga dilihat mampu memenuhi kapasiti ruang padang terbuka itu. Bayangkan tempat meletak kereta dan jalan yang berhampiran dengan padang itu turut sesak dipenuhi kereta penonton yang hadir. Pendek kata, kelibat penonton yang hadir memang di tahap yang cukup memberangsangkan.
“Saya sendiri tidak jangka jumlah penonton yang hadir begitu ramai. Malah saya difahamkan selain konsert Search, turut berlangsung Konsert Antara Dunia di Shah Alam. Pada masa yang sama, Kuala Lumpur juga berdepan dengan perhimpunan haram bagi membantah dan menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hingga beberapa jalan utama terpaksa ditutup dan menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Bagaimanapun, konsert yang berlangsung dalam tempoh dua jam itu sebenarnya dianggap sangat mengecewakan terutama daripada sudut sistem bunyi yang disediakan. Kalau diamati, memang persembahan konsert itu bagai ada yang tak kena.
Malah, ada yang menyifatkan masalah sistem bunyi yang tidak sehebat seperti di Johor Bahru dan Pulau Pinang itu disebabkan kekurangan bajet. Pemilihan lagu juga dikatakan begitu mengecewakan kerana ada lagu berhantu Search yang tidak dinyanyikan.
Persembahan konsert itu turut dicacatkan dengan masalah teknikal yang terjadi di awal persembahan selepas lagu kedua, Balada Pemuzik Jalanan dinyanyikan Amy. Penampilan khas Kid ketika menggoreng gitarnya untuk lagu Isabella bergema di ruang udara juga kelihatan seperti tenggelam timbul.
“Saya sendiri juga agak panik apabila masalah teknikal itu berlaku. Perkara sedemikian memang kita tak dapat jangka. Yang berlaku tetap akan berlaku, kita tidak boleh halang,” kata Amy ringkas.
Ketika itu juga, Nasir mula mencelah seperti cuba merungkaikan sedikit perasaan hatinya.
“Kita pakai sistem bunyi yang berbeza dengan konsert sebelum ini. Apa yang kita nak yang terbaik untuk konsert ini tak dapat. Ia seperti gangguan emosi kepada kami,” kata Nasir.
Berbaloikah menonton konsert ini? Jawapannya tepuk dada tanya isi hati. Sayang juga kerana persembahan itu tidak berjalan dengan baik sedangkan ia sebenarnya perlu menjadi memori yang indah. Amy Search juga kurang berkomunikasi dan hanya selepas lagu kelapan, Gelora Cinta, baru bapa kepada pelakon Nabila Huda itu mula bersuara.
Bermula dengan lagu Panggung Khayalan, Amy melabuhkan tirai konsert dengan lagu Fantasia Bulan Madu. Diamati, lagu Isabella paling memberi nostalgia tersendiri dan cukup mengesankan kepada peminat Search apabila mereka turut menyanyikan sama lagu terbabit.
Antara lagu lain yang dipersembahkan Search ialah Emanuelle, Hilang Dalam Terang, Plastik Ke Bintang, Rock & Roll Pie, Bencana, medley Gadis Misteri, Gadis Ayu dan Gadisku, Isi Dan Kulit, Laila Namamu Teratas, Pelesit Kota, Setelah Hujan dan tidak ketinggalan lagu cari makan, Pawana.
INFO Search
zaman sekolah2 dulu.. mmg minat jugak dgr lagu2 search ni.. ada yg ingat sampai kini senikatanya.. hehe
ReplyDeleteemmm..masa konsert terakhir search ni ida pi ke bukit kiara?? knurul pun mcm kak ida gak, masa zaman sekolah dulu suka dengar lagu2 search ni..hehe..
ReplyDeletekak ida n kak nurul..biasalah...study sambil hafal lirik..heheh..xgla kak nurul..tgk kat kuala ganu je ari tu..
ReplyDeletesearch mmng the bestlh...
ReplyDelete